Jururawat menyuntik vaksin jenis Sinovac kepada orang awam di pusat pemberian vaksin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam yang mula beroperasi pada 7 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buat ujian antibodi jika syak terima suntikan vaksin kosong

SHAH ALAM, 24 JULAI: Penerima vaksin diminta membuat ujian antibodi peneutralan Covid-19 sekiranya mengesyaki menerima suntikan kosong supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ujian itu boleh dilakukan di makmal perubatan berlesen selepas 30 hari menerima suntikan dos kedua.

“Polis masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima-penerima vaksin Covid-19.

“Bagi penerima-penerima yang merasa telah diperdayakan tidak disuntik dengan vaksin, mereka boleh membuat ujian untuk mengesahkan keberadaan antibodi di dalam badan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya berlaku penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran serta secara dalam talian yang tidak mengikut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau bagaimanapun berkata sehingga kini polis belum mengesan sindiket atau individu yang disyaki menjual serta memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia.

Semalam, Abd Jalil memaklumkan pihaknya menerima 13 laporan polis berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin di seluruh negara.

Laporan polis itu melibatkan tujuh di Kuala Lumpur, tiga di Selangor manakala masing-masing satu di Kedah, Perak dan Melaka.

Pengarang :