NASIONAL

Poster skandal rasuah Scorpene dilancar di Parlimen

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), hari ini melancarkan poster Lembaran Fakta: Skandal Rasuah Scorpene bagi memastikan rakyat tahu siasatan terhadap skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene masih berjalan, di Perancis.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, skandal membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dijalankan badan kehakiman, di Perancis.

“Sistem perundangan Malaysia banyak mengikut sistem British dengan siasatan dijalankan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa kepada Peguam Negara untuk didakwa.

“Berbeza dengan Perancis, badan kehakiman juga boleh menjalankan siasatannya sendiri,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Ketika mengimbas kembali skandal terbabit, R Sivarasa menjelaskan kes itu mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, berbeza dengan Kerajaan Malaysia, pihak berkuasa di Perancis mengambil sikap tegas berhubung isu rasuah.

Katanya, rakyat Malaysia juga wajar mengambil sikap proaktif memerangi masalah rasuah melalui pelbagai cara, termasuk mengedarkan risalah terbabit.

“Kita harap rakyat Malaysia sebarkan risalah ini seluasnya supaya mereka faham ada lagi skandal membabitkan Perdana Menteri yang disiasat badan kehakiman, di Perancis.

“Kita harap suatu hari nanti rakyat Malaysia dapat keadilan untuk wang lebih kurang RM500 juta yang dicuri melalui proses rasuah pembelian kapal selam Scorpene,” katanya.


Pengarang :