SELANGOR

‘Selangor Darul Sampah’, Najib hina kedaulatan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 20 APR: Kenyataan pemimpin nombor satu Putrajaya yang mendakwa Selangor sebagai negeri ‘Darul Sampah’ disifatkan menghina kedaulatan negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak bertanggungjawab dan biadap.

“Saya kesal dan kecewa, pemimpin ini turun ke Kajang serta menyinggung rakyat Selangor dengan mengatakan Selangor bukan lagi Darul Ehsan tetapi darul sampah.

“Kenyataan ini tidak bertanggungjawab dan biadap serta menghina kedaulatan negeri dan rakyat Selangor yang mahukan keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Majlis Daerah Kuala Langat dan Penyerahan Lori Arm Roll, di sini.

Mohamed Azmin berkata, pimpinan akan membuktikan kenyataan itu tidak berasas menerusi kehadiran KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) yang menggalas tanggungjawab melancarkan kutipan sampah, di negeri itu.

Katanya, beliau berjanji dengan kehadiran KDEWB, Selangor akan muncul sebagai negeri paling bersih, di Malaysia.

“KDEBWM membantu menguruskan sisa pepejal, di Selangor. Saya berharap usaha ini didukung semua pihak.

“Selangor bukan sahaja membangun sebagai negeri industri tetapi tanpa mengecualikan elemen kesejahteraan dan kebersihan,” katanya.

Terdahulu, Najib ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang, di Sungai Jelok memberi jaminan akan menyelesaikan tiga masalah utama yang membelenggu penduduk Selangor, iaitu masalah air, sampah dan denggi jika BN berjaya meraih mandat, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, negeri itu tidak seharusnya diberi jolokan ‘Darul Sampah’ atau ‘Darul Denggi’ hanya kerana kegagalan Kerajaan Negeri pimpinan KEADILAN menyelesaikan masalah terbabit.

 


Pengarang :