SELANGOR

Pelihara hutan simpan kekal, stabilkan alam sekitar

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 19 MAC: Kerajaan Negeri komited menguruskan sumber hutan secara berkekalan bagi menjamin peranan hutan dalam memastikan kestabilan alam sekitar dan sumber bekalan air bersih.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pemeliharaan hutan simpan kekal amat penting dalam memastikan sumber alam semulajadi Selangor terpelihara.

“Ia bagi memelihara sumber biodiversiti, kawalan hakisan tanah, pemeliharaan dan pemuliharaan spesis flora dan fauna sekali gus menjana aktiviti eko pelancongan.

“Dalam memastikan sumber ini terpelihara, sejak 2000, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor berjaya menanam lebih satu juta pokok di persisiran pantai yang berkeluasan sekitar 615 hektar melalui Projek Penanaman Pokok Bakau dan spesies pokok bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tanam Pokok Negeri Selangor 2018 di Pantai Bagan Lalang, di sini, semalam.

Katanya, Hutan Simpan Sepang Kechil di pantai berkenaan adalah hutan paya bakau dengan keluasan 268 hektar yang wujud di kawasan pesisiran pantai berkenaan.

“Hutan ini memainkan peranan amat penting dari segi sosio ekonomi, alam sekitar dan keselamatan selain menjadi habitat penting kepada pelbagai spesis flora dan fauna serta hidupan laut.

“Di samping itu, ia turut memainkan peranan dalam menjamin kawasan pesisiran pantai termasuk berfungsi sebagai benteng semula jadi untuk menahan serta mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak, hakisan tanah penahan semulajadi kepada tiupan angin kencang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan membentangkan rang undang-undang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi, bertujuan meminda enakmen Akta Perhutanan Negara 1985, iaitu menjatuhkan hukuman lebih berat kepada penceroboh hutan di Selangor.

 


Pengarang :