BERITA UTAMASELANGOR

MB: Tiada sebarang kenaikan tarif air

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Negeri tidak pernah sama sekali membenarkan syarikat konsesi untuk menaikkan kadar tarif air yang sudah tertakluk selama ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam perjanjian syarikat konsesi air yang ditanda tangani sebelum ini memberi kuasa cukup besar bahawa kenaikan tarif mesti dan boleh dilakukan setiap tiga tahun.

Namun, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri tidak mahu membebankan rakyatnya sekali gus menghalang syarikat konsesi menaikkan kadar tarif air sejak 2009.

“Pada 2006, kadar tarif air ialah RM1.39 untuk satu meter padu dan masih kekal digunakan sehingga ke hari ini… kalau ikut perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh mereka pada 2018, nilai tarif adalah RM3.15  untuk (satu meter padu/ 1,000 liter).

“Sekiranya Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan kadar tarif air setiap tiga tahun sekali, rakyat perlu membayar RM3.15 untuk satu meter padu , lebih mahal daripada minyak petrol,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, hal itu adalah salah satu faktor Kerajaan Negeri tidak mahu menswastakan syarikat konsesi air, ia perlu distruktur kembali dan serahkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri ada pengalaman yang lebih bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan rakyat daripada membenarkan syarikat kroni memerah keringat dan keuntungan besar.

“Dikatanya Kerajaan Negeri tidak mampu menguruskan industri air sedangkan yang berlaku baru-baru ini adalah insiden…Saya sendiri tidak mahu insiden itu berlaku,” katanya.

Malah, Mohamed Azmin menegaskan insiden berkenaan pula berlaku di dalam loji rawatan air Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang bukan milik Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri hanya pemegang saham minoriti, kita tiada kuasa untuk menentukan sebarang keputusan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan memaklumkan akan memuktamadkan keputusan pemilikan SPLASH pada Julai nanti,” ,” katanya sambil menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hanya mengambil alih tiga syarikat iaitu Puncak Niaga, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Kumpulan ABASS.


Pengarang :