PBTSELANGOR

MBSA sedia 44 saluran pembayar cukai taksiran

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 44 saluran pembayaran bagi memudahkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran untuk penggal pertama.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah bagi memudahkan orang ramai menjelaskan cukai taksiran sebelum atau pada 28 Februari ini.

“MBSA berharap semua pemegang harta dapat menunaikan tanggungjawab ini bagi membantu MBSA menguruskan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman-taman awam dan taman permainan.

“Melalui kutipan cukai taksiran ini juga MBSA dapat menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisyen sekaligus dapat memberi keselesaan, kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat yang bermastautin di bandar raya Shah Alam khususnya,” katanya dalam kenyataan.

Antara perkhidmatan saluran pembayaran terasuk pembayaran di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan juga Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Selain itu, pemegang harta boleh membayar di pusat agensi setempat iaitu Pejabat Pos di kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (secara tunai sahaja), Ambank (secara ATM sahaja), Bank Muamalat dan Bank Rakyat (secara tunai atau ATM), Affin Bank dan Agro Bank (secara tunai atau cek) dan di Bank Islam (secara tunai /cek /ATM).

Bagi memudahkan lagi bayaran juga boleh dijelaskan secara online antaranya di www.mbsa.gov.my, www.maybank2u.com, www.payonline.com.my, www.mbfcards.com dan www.citibank.com.

=EZY=


Pengarang :