SELANGOR

LPHS berjaya sempurnakan dasar Pendemokrasian Pemilikan Rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 MAC: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berjaya menyempurnakan dasar Pendemokrasian Pemilikan Rumah setelah 15 tahun penubuhannya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehingga kini LPHS dengan kerjasama swasta sudah berjaya menyiapkan 3,620 unit Rumah Selangorku.

“Kini, tambahan 20,627 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan dan dijual dengan harga antara RM42,000 hingga RM250,000.

“Bagaimanapun, sebanyak 70 peratus daripada Rumah Selangorku yang dibina adalah mampu milik dengan kategori harga kurang daripada RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh LPHS bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, perumahan Rumah Selangorku adalah agenda penting Kerajaan Negeri untuk membolehkan golongan milennials, B40 dan M40 untuk mendapat akses kepada pemilikan rumah berkualiti dan mampu milik.

Di samping itu, Mohamed Azmin menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengarah Eksekutif LPHS, Norzatun Aini kerana berjaya melakukan anjakan paradigma dalam mentransformasikan LPHS kepada satu tahap kecemerlangan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan seluruh warga LPHS kerana berjaya memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang lebih kreatif dan inovatif demi memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.


Pengarang :