PENDIDIKANSELANGOR

Perbaharui pintu gerbang, wujud persekitaran ceria

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 19 MAC: Sekali lagi langkah proaktif diambil dalam memberi transformasi baru terhadap pintu gerbang Universiti Selangor (UNISEL) yang menjadi laluan masuk utama kampus itu.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohd Redzuan Othman berkata, idea memperbaharui semula pintu masuk itu bagi mewar-warkan kepada masyarakat luar bahawa UNISEL sentiasa komited menaik taraf infrastruktur sedia ada.

Katanya, ia juga bagi menyuntik semangat baru kepada pelajar dengan persekitaran baru yang lebih ceria.

“Sesiapa sahaja yang masuk ke UNISEL, benda pertama yang mereka lihat pintu gerbang, justeru pintu gerbang dianggap satu tarikan menarik orang luar masuk.

“Dalam erti kata lain, kita memastikan imej dan reputasi universiti terus terkawal serta menepis tanggapan serong sesetengah masyarakat terhadap kebolehan UNISEL yang sentiasa memperbaharui prasarana sedia ada sekarang,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di Pusat Sukan IPIS, di sini, semalam.

Prof Redzuan berkata, pintu gerbang sedia ada melambangkan sesuatu yang tidak begitu bertenaga dan agak suram, sebaliknya harus digambarkan dengan persekitaran lebih ceria.

“Justeru, kita akan bangunkan semula pintu masuk ini kerana kos pelaksanaannya dianggar sekitar RM300,000 sahaja dan tidak menelan jutaan ringgit.

“Pada masa sama, kita mahu orang luar mengetahui keberadaan UNISEL yang sentiasa komited membuat anjakan paradigma untuk menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi terulung,” katanya.


Pengarang :