Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali memberi masa tiga bulan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan semua sampah-sarap dalam kawasan di negeri itu.

Beliau juga memberi nombor telefonnya kepada residen dan meminta mereka menghantar mesej kepadanya jikalau menampak sampah belum dikutip.

"Saya telah arahkan semua PBT termasuklah MBPJ dan MBSJ, saya beri mereka tiga bulan, sehingga Disember 2014. Saya mahu semua sampah ini dikutip dan diselesaikan.

"Saya mahu PJ menjadi daerah yang paling bersih di negeri Selangor,” katanya semasa menghadiri majlis kutipan dana DAP di Petaling Jaya semalam.

Azmin berkata beliau sangat serius dengan masalah itu dan tidak mahu melihat longgokan sampah di mana-mana tempat termasuk di tepi jalan.

"Kalau kamu nampak ada sampah belum kutip, kamu ‘text’ saya. Ini nombor saya 012-2052020. Nombor ini tidak ada kaitan dengan wawasan 2020, nombor ini senang diingat.

"Kamu ‘text’ saya, saya serius tentang ini, saya tidak akan toleransi. Saya mahu semua PBT bersihkan setiap jalan, setiap tanah di kawasan kita,” tegasnya.

Walaupun lebih sebulan menjawat menteri besar, Azmin dikenali sebagai 'Jokowi' Malaysia apabila menumpukan program turun padang bertemu rakyat Selangor termasuk memeriksa longkang, lori sampah, turun ke padang sawah padi di Sekinchan dan melawat ke Pulau Ketam baru-baru ini.

Dalam ucapannya juga, Azmin yang juga MP Gombak menyifatkan dirinya sebagai "seorang yang mudah" dan akan menghabiskan 80 peratus masanya untuk turun padang.

"Saya ini muda, saya turun ke bawah, saya hanya akan menggunakan 20 peratus masa saya di pejabat. (Dan) 80 peratus masa (lagi) saya akan turun padang berjumpa dengan mereka yang menderita,” katanya.

Isu rampasan Bible

Mengulas mengenai rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban, Azmin berkata beliau mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Saya akan merujuk perkara ini kepada sultan bagaimana (nak menyelesaikannya). Kitab ini bukan milik orang Islam, ia milik masyarakat Kristian yang harus kita hormat.

"Jadi kita sedang merangka satu formula dan saya cukup yakin kalau mereka faham Islam yang sebenar, Bible mesti dipulang kepada komuniti Kristian,” katanya.

Pentadbiran pro-perniagaan

Sementara itu, Azmin juga berkata pentadbiran baru di Selangor bersifat pentadbiran pro-perniagaan tetapi mesti bersandarkan prinsip ketelusan.

"Untuk memastikan pertumbuhan negeri, kita kena kerja dengan masyarakat perniagaan. Kita kena sediakan keadaan kondusif untuk komuniti perniagaan.

"Saya tak mahu banyak birokrasi, kita ada garis panduan jelas. Kalau kamu memenuhinya, saya pastikan kamu akan diluluskan serta-merta,” katanya.

Azmin turut berjanji, bajet Selangor yang akan dibentangkan pada 24 November akan mengurangkan perbelanjaan operasi dan meningkatkan perbelanjaan pembangunan.

Katanya, ia termasuklah mengurangkan gaji menteri besar, exco, speaker dan timbalan speaker dewan undangan negeri.

Lihat Komen
ADS