NASIONAL

Saudi larang ziarah beberapa kawasan ketika umrah, haji

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 20 APR: Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan ziarah ke beberapa lokasi terhadap jemaah umrah dan haji berkuat kuasa, pada 19 April lalu.

Larangan itu dimaklumkan kepada semua agensi haji dan umrah serta mutawwif bertugas sepanjang berada di tanah suci.

Kawasan larangan yang dimaksudkan adalah Ladang Kurma, Jabal Thur, Jabal Noor (lokasi Gua Hira’), Bani Sa’ad, Masjid Ku’ dan Masjid Ibnu ‘Abbas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook mutawwif.com, larangan itu dikeluarkan bagi mengelakkan perkara khurafat dan bida’ah kerana ada jemaah India melakukan tawaf keliling pokok di perkampungan Bani Sa’ad, di Thaif.

Kesan daripada itu, para jemaah tidak lagi dibenarkan menziarahi kawasan itu dan hanya fokus kepada Masjidilharam serta Masjid Nabawi sahaja, malahan mereka yang melanggar arahan akan didenda Sr5000.

Para jemaah hanya dibenarkan untuk melihat dari jauh sahaja atau tidak turun daripada bas.

“Peringatan kepada yang sedang pergi, jangan buat perkara pelik-pelik, tingkah laku kalian menjejaskan orang lain.

“Walaupun ada disebut khusus jemaah India, tidak dapat dinafikan, ada juga segelintir daripada jemaah Malaysia dan Indonesia pun melakukan perkara pelik,” katanya.


Pengarang :