Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya tidak pernah kenal Altantuya'
Diterbitkan:  Apr 10, 2015 12:00 AM
Dikemaskini: 4:07 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali Altantuya Shaariibuu dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kematian wanita Mongolia itu.

"Tidak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung, tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya.

"Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court (Mahkamah Persekutuan). Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum ini?," katanya dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas

bersama Perdana Menteri malam ini, yang dihoskan Hamdan Ahmir.

Najib berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau terlibat dalam kes berkenaan kerana meskipun telah berlalu, ia masih dibangkitkan termasuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai siapa yang memberi arahan kepada pegawai polis terlibat untuk membunuh Altantuya.

Perdana Menteri menjelaskan beliau telah melafazkan sumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008.

"Ini cerita 2008.. dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008...bahawa saya tidak mengenai Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung," tegas beliau.

Menurutnya polis juga telah menjalankan siasatan terhadap kes itu selain Ketua Polis Negara pada masa itu juga telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak terlibat.

"Pada masa itu, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri sudah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat," katanya.

Pada Jun 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan tiada sebarang bukti untuk mengaitkan Najib dengan kematian Altantuya.    

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata seseorang tidak boleh sewenangnya menuduh atau mengaitkan apa-apa dengan Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri, hanya kerana penganalisis politik Abdul Razak Baginda secara kebetulan mengenali Najib.

Beliau turut menjawab soalan mengenai pertemuannya dengan Dr Mahathir sebelum ini berhubung beberapa isu dan sama ada bekas perdana menteri itu ada bertanyakan mengenai Altantuya.

"Tidak secara langsung. Tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam perbincangan itu, saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes) Altantuya dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali," katanya.

Menerusi perbincangan itu, Najib berkata beliau masih menunjukkan rasa hormat kepada Dr Mahathir dengan cara mengunjungi rumah bekas perdana menteri itu dan tidak membiarkan Dr Mahathir pula yang datang ke rumah beliau.

"Tapi macam mana pun, bila kita bincang, saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS