SELANGOR

Selangor lulus 202 projek sepanjang 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Selangor muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest), Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Katanya, pada tahun lalu, Selangor turut menerima lebih RM5.59 bilion pelaburan langsung menerusi sektor perkilangan.

“Daripada jumlah itu, 104 adalah projek baru dengan 5,483 peluang pekerjaan. Pelaburan domestik mencatatkan RM3.42 bilion dengan RM1.44 bilion disumbangkan melalui pelaburan domestik baru, manakala pelaburan domestik lama RM1.98 bilion.

“Bagi pelaburan asing pula mencatatkan RM2.16 bilion. Daripada jumlah itu, RM1.12 bilion daripada pelaburan asing baru dan RM1.03 bilion daripada pelaburan asing sedia ada,” katanya selepas Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2018, di MiTEC, di sini.

Hasan berkata, Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629, diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Netherlands pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan German tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755,” katanya.

Selain itu, daerah Klang merupakan daerah tertinggi menyumbang lebih RM652 juta nilai pelaburan bagi sektor perkilangan.

Diikuti dengan Shah Alam sebanyak RM431 juta dan Kuala Langat sebanyak RM420 juta serta Petaling Jaya sebanyak RM381 juta.

Pada 2016, sektor pengangkutan merupakan penyumbang tertinggi dengan nilai RM2.843 bilion diikuti sektor makanan sebanyak RM1.035 bilion dan RM637 juta pula menerusi produk logam yang direka.


Pengarang :